Imigresen gempur Pasar Borong Selayang, Meru
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menggempur habis-habisan Pasar Borong Selayang dan Pasar Meru, Klang dalam usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ops Bersepadu bermula jam 6 pagi tadi membabitkan seramai 94 pegawai serta anggota telah memeriksa 32 lot premis di dalam kawasan pasar.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang turut menyasarkan gerai-gerai haram yang diusahakan warga asing di sekitar kawasan pasar terbabit telah menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 169 warga asing dari pelbagai warganegara.
Menurutnya, daripada jumlah yang diperiksa, seramai 47 orang PATI berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun telah ditahan.
"PATI yang ditahan terdiri daripada warganegara Myanmar 22 orang, Indonesia (16 orang), Bangladesh (4 orang), diikuti dengan India seramai lima orang.
"Selain itu, pemeriksaan semasa operasi juga merekodkan seramai 68 orang warganegara asing adalah merupakan pemegang Kad UNHCR," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, seramai 14 majikan turut ditahan di dalam operasi ini dan tindakan mengesan majikan serta pemilik lot-lot pasar borong selebihnya akan dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas lanjut, Imigresen komited dalam menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), PBT dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam usaha membanteras dan menyelesaikan masalah PATI serta memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kedaulatan negara ini.
Berhubung dengan isu warga tempatan yang menyewakan premis atau lot-lot pasar borong kepada warga asing, Imigresen menyokong penuh tindakan PBT untuk membatalkan lesen yang telah diberikan kepada mereka.
"Ini antara tindakan yang perlu bagi menangani lambakan PATI yang bekerja dan juga menjalankan perniagaan di pasar borong.
"Tindakan tegas ini juga dilihat antara usaha yang perlu diambil ke atas segelintir majikan warga tempatan yang tidak menyokong sepenuhnya usaha untuk membenteras PATI malahan menggaji, melindungi dan mengeksploitasi warga asing," katanya.
Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Imigresen menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu-isu berkaitan PATI dan warga asing. Kerajaan tidak akan berkrompomi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!