Pep yakin Xavi calon terbaik kemudi Barcelona
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak ragu dengan kemampuan yang dimiliki jurulatih Kelab Qatar, Al Sadd Xavi untuk mengendalikan Barcelona sambil menyifatkan kelab Catalan itu perlu segera membuat tawaran bagi mendapatkan khidmat bekas pemain tengah itu.
Menurut Pep, dia yakin dengan potensi yang dimiliki Xavi untuk membawa kejayaan kepada kelab yang pernah diwakilinya ketika bergelar seorang pemain satu ketika dahulu.
“Jika Xavi dilantik mengendalikan Barcelona, saya tak ragu-ragu dengan kemampuan yang dimilikinya malah saya rasa Xavi sudah bersedia sepenuhnya untuk jawatan itu.
“Dia tahu cara permainan Barcelona, dia sangat bersemangat dan saya sangat yakin dia memiliki pengalaman cukup berbanding ketika saya kendalikan Barcelona dahulu,” katanya.
Sebelum ini Xavi dikhabarkan akan kembali ke kelab yang dibintanginya sebagai pemain selepas pemecatan Ronald Koeman yang menyaksikan Barcelona kini di kedudukan kesembilan La Liga, enam mata di belakang empat pasukan teratas.
Malah Presiden Barcelona, Joan Laporta semalam mengakui dia mahu mengambil Xavi sebagai jurulatih pada satu ketika dahulu.
Walaubagaimanapun dia enggan mengesahkan Xavi akan menggantikan Koeman dan menyatakan Barca masih ada pilihan lain.
"Saya katakan apabila dia ke Qatar, Xavi akhirnya akan menjadi jurulatih Barca.
"Sebenarnya saya mahu dia menjadi jurulatih Barca ketika saya menjadi presiden dahulu. apa yang saya tidak tahu ialah bila dia (Xavi) akan jadi jurulatih Barcelona," kata Laporta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!