Jaminan pembiayaan perniagaan bantu usahawan kembali bangkit
ALOR SETAR - Usahawan, peniaga dan penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) mengharapkan kerajaan membantu dan memudahkan pembiayaan kepada golongan tersebut seperti diumumkan dalam Bajet 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Museum Signature, Noorzanarudin Syah Zakaria, 42 berkata, jaminan pembiayaan perniagaan yang diberikan oleh kerajaan akan dapat membantu mereka kembali bangkit selepas tidak dapat beroperasi semasa tempoh pandemik Covid-19.
Menurutnya, kadar vaksinasi lengkap yang telah melebih 90 peratus di negara ini turut meningkatkan keyakinan mereka untuk kembali beroperasi.
"Saya harap apa yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan berjaya. Kami hampir dua tahun tidak dapat berniaga dan banyak usahawan yang gulung tikar. Memang rata-rata tidak dapat beroperasi langsung semasa pandemik.
"Harap kerajaan memudahkan urusan pembiayaan dan tidak mempunyai banyak kerenah birokrasi. Walaupun permohonan pembiayaan itu tidak banyak tetapi perlu dipermudahkan secepat mungkin kerana orang nak mula berniaga kembali," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Noorzanarudin Syah berkata, kerajaan juga perlu membantu dari segi membaik pulih infrastruktur premis perniagaan dan sokongan mesin kepada penggiat IKS.
"Sebelum ini sudah beberapa bulan tidak dibenarkan dine-in menyebabkan kedai perlukan penambahbaikan, ada perabot dan peralatan seperti meja dan kerusi yang sudah tidak dapat digunakan.
"Jika kerajaan dapat membantu dari sudut itu, memang sangat membantu peniaga-peniaga kecil.
"Kerajaan juga boleh membantu dari sudut perlesenan sewa seperti peniaga boleh bayar secara ansuran bulanan kerana pada masa kini peniaga mahu fokus untuk pusingan modal dan menstabilkan perniagaan masing-masing," ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai makan, Ruzana Ahmad Fuad, 41, berharap Bajet 2022 dapat membantu pemain dan penggiat industri perniagaan untuk bangkit selepas kehilangan pendapatan semasa pandemik.
"Bagi kami yang terlibat dalam bidang perniagaan ini memang menanti apa yang mahu diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2022. Kami sangat harap kerajaan dapat membantu kami untuk kembali bangkit selepas ini," katanya.
Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan akan menambah baik Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan menyediakam jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distrukturkan semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!