Kenyataan saya berlandas undang-undang: Kon Yeow

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kenyataan balas yang dibuat kerajaan Pulau Pinang berhubung tuntutan bayaran pajakan oleh Kedah berlandaskan undang-undang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun yang membuat pembayaran selama ini ialah kerajaan Persekutuan namun kenyataan balasnya itu berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Negara kita ada undang-undang, apa salahnya kalau saya ikut undang-undang?

"Pulau Pinang tiada peranan dalam perkara ini kerana bukan kita yang bayar dan kita tetap tidak akan bayar," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran airasia ride di Komtar pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meminta Kon Yeow tidak perlu campur tangan terhadap tuntutan Kedah bagi mendapatkan bayaran pajakan Pulau Pinang itu.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi mendedahkan kerajaan Kedah memohon kerajaan Persekutuan supaya bayaran pajakan Pulau Pinang dinaikkan kepada RM100 juta.

Menurut Muhammad Sanusi, permohonan itu telah dinyatakan kepada Kementerian Kewangan supaya dimasukkan ke dalam Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat.

Ditanya mengenai pembayaran yang dibuat kepada Kedah selama ini oleh kerajaan Persekutuan, Kon Yeow berkata, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kerajaan Persekutuan tidak perlu membayar di luar daripada perjanjian sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak kata (kerajaan Persekutuan) jangan bayar tetapi jika ada perjanjian, ikutlah perjanjian. Tidak perlu (bayar) lebih daripada perjanjian.

"Pulau Pinang masih dengan pendirian, tidak akan bayar apa-apa pun," katanya.

Rabu lalu, Kon Yeow menegaskan kerajaan Pulau Pinang tidak akan membuat sebarang bayaran sebagai bayaran pajakan kepada Kedah.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan juga tidak perlu membayar sebarang tuntutan di luar daripada perjanjian sedia ada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!