ReDI: 15,200 peniaga kecil sertai akhir tahun depan
HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan seramai 15,200 peniaga kecil dan mikro di negara ini akan menyertai Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dalam memberi pilihan transaksi tanpa tunai kepada pengguna menjelang akhir tahun depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia melibatkan 100 peniaga restoran, gerai, pasar tani, pasar malam, pasar basah dan pasar borong, selain kedai runcit dan kedai pengkhususan di luar bandar di lebih 150 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
"Menerusi pelaksanaan Program ReDI, kita menjalinkan kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri, PBT setiap KPDNHEP negeri bagi menggalakkan peniaga menyertai inisiatif ini.
"Penggunaan e-wallet ini bukan sahaja memberi nilai tambah yang besar terhadap pengembangan perniagaan, tetapi juga dapat memastikan peniaga mempunyai pengurusan rekod kewangan yang lebih tersusun dan sistematik kerana dijana secara automatik.
"Selain itu, peniaga khususnya peniaga kecil dan mikro juga berpeluang merebut akses pinjaman mikro yang disediakan penyedia kemudahan e-wallet ini," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran ReDI di Pasar Besar Kuala Berang, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.
Pada program itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut mengumumkan bandar Kuala Berang di Hulu Terengganu sebagai wilayah e-wallet luar bandar pertama dalam negara.
Jelas Rosol, selain Kuala Berang pihaknya akan memperluaskan program itu di Sabah dan Sarawak pada masa terdekat sebagai bandar tanpa tunai dengan kerjasama penyedia kemudahan e-wallet.
"Penggunaan e-wallet bukan perkara asing di kalangan pemain sektor peruncitan seperti rangkaian pasaraya besar, stesen minyak dan industri makanan dan minuman seperti restoran ternama di bandar-bandar besar, namun penggunaannya dalam kalangan peniaga mikro serta peniaga kecil dan sederhana terutama di kawasan luar bandar belum begitu meluas.
"Saya yakin langkah memperluaskan penggunaan transaksi digital seperti e-wallet akan dapat membantu para peniaga kecil mempercepatkan pengembangan perniagaan dan bersedia untuk bersaing dalam landskap perniagaan yang semakin moden," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!