Bajet 2022: Pacu transformasi sektor agromakanan moden
SHAH ALAM - Peruntukan berjumlah RM4.82 bilion yang diterima Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam Bajet 2022 jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, peruntukan itu termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion.
"Secara keseluruhan, peruntukan yang diberikan kepada MAFI juga adalah lebih tinggi berbanding tahun 2021.
"Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, peruntukan itu juga bertujuan untuk memacu pemodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur.
Ujarnya, MAFI juga akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2022 secara efektif bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat.
"Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pastinya akan sentiasa melaksanakan semua program dan inisiatif kesejahteraan rakyat yang diumumkan dengan berkesan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan secara amnya kesemua subsidi dan insentif untuk tahun 2022 dikekalkan sama seperti tahun 2021.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan bagi mengekalkan momentum pengeluaran makanan dalam negara khususnya tanaman padi yang merupakan komoditi tanaman makanan utama negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!