Perak pastikan tiada pertindihan dalam bajet negeri
LENGGONG - Kerajaan Perak akan memastikan inisiatif Bajet 2021 yang diumumkan kerajaan Persekutuan tidak bertindih dengan bajet negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sudah merangka bajet yang akan dibentangkan pada 10 Disember depan namun akan meneliti semula untuk disesuaikan dengan Bajet 2022.
Menurutnya, sebarang kekurangan peruntukan di peringkat pusat akan ditampung dalam belanjawan negeri.
"Bajet yang diumumkan semalam cukup besar dan disebarkan kepada semua sektor. Tujuannya nampak jelas iaitu membangunkan kembali ekonomi, memakmurkan negeri untuk rakyat.
"Bajet negeri juga akan mengikut jejak itu kerana kerajaan negeri juga perlu berbuat kebajikan kepada rakyat tetapi bergantung kepada kemampuan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak di Dewan Merdeka Lenggong, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, peruntukan RM20 juta yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat akan diuruskan sebaik mungkin.
Menurutnya, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi tujuan merancakkan ekonomi dan memastikan jaminan keselamatan makanan.
"Kita akan melihat dan cuba uruskan kerana di bawah kita ada jabatan pertanian, veterinar, perikanan memang ada dua peruntukan. Satu bawah pusat, satu negeri.
"Jadi dengan pengumuman diberikan semalam maknanya saya boleh sesuaikan di peringkat negeri," katanya.
Saarani sebelum itu turut melancarkan Butik Bergerak Perak FC di Pekan Lenggong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!