airasia ride kini di Pulau Pinang
GEORGETOWN - Air Asia melancarkan perkhidmatan e-panggilannya, airasia ride di Pulau Pinang selepas dilancarkan di Lembah Klang dan Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride Malaysia, Lim Chiew Shan berkata, perkhidmatan berkenaan menyediakan lebih kemudahan dan penjimatan dengan kadar yang kompetitif untuk penduduk Pulau Pinang.
Menurutnya, ia juga menyediakan peluang pendapatan lebih baik kepada pemandu perkhidmatan berkenaan.
"Airasia ride ini juga menyediakan peluang pekerjaan selain mengutamakan pemandu agar mereka boleh memilih pekerjaan yang selesa selain menawarkan tambang berpatutan kepada pelanggan.
"Kita mempraktikkan model kos rendah dengan ciri-ciri dan keselamatan tertinggi untuk memberikan lebih penjimatan kepada pelanggan.
"Oleh sebab itu, tambang kami lebih rendah 10 hingga 15 peratus dan mampu menawarkan nilai terbaik dalam pasaran e-panggilan yang berdaya saing," katanya pada Majlis Pelancaran airasia ride Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Komtar di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, penduduk Pulau Pinang boleh menempah airasia ride dengan tambang rendah menerusi aplikasi airasia Super App pada ikon 'Ride'.
"Konsep airasia ride mengutamakan pemandu iaitu 85 peratus daripada tambang akan diberikan kepada mereka selain pemandu juga diberi kebebasan memilih kekerapan dan jumlah tempahan mengikut keselesaan dan ketersediaan mereka.
"Sempena pelancaran airasia ride di Pulau Pinang, kita memberi perjalanan percuma setiap hari bermula Sabtu sehingga 3 November ini. Pelanggan boleh menggunakan kod promosi FREERIDE," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, AirAsia merupakan pemain penting dalam menyokong pelancongan dan aktiviti ekonomi di Pulau Pinang sejak penubuhannya pada 2002.
"Dengan pelancaran airasia ride di Pulau Pinang, kita memuji usaha mereka menyumbang kepada industri e-panggilan dan e-dagang di negeri ini.
"Industri pelancongan dijangka pulih tidak lama lagi dan airasia ride bukan sahaja akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk di Pulau Pinang malah menyediakan lebih banyak pilihan berpatutan kepada pelancong," katanya.
Beliau turut berharap pemilik restoran dan pemilik perniagaan kecil tempatan memanfaatkan tawaran lain yang ditawarkan AirAsia menerusi Super App seperti airasia food dan airasia grocer yang dilancarkan baru-baru ini.
"Ia bagi mendigitalkan perniagaan dan memperkembangkan lagi jangkauan pasaran mereka.
"Kita juga berharap AirAsia akan melancarkan perniagaan e-dagang lain yang tersedia di airasia Super App ke Pulau Pinang pada masa hadapan untuk membantu memulihkan ekonomi tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!