Tiga didakwa hina agama, Rasulullah

Tiga lelaki (dari kiri) Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, Chow Mun Fai, 43, dan Danny Antoni, 28, yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di negara ini dengan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama
Tiga lelaki (dari kiri) Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, Chow Mun Fai, 43, dan Danny Antoni, 28, yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di negara ini dengan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Susulan tangkapan ke atas beberapa lagi individu yang mencetuskan provokasi kerana memuat naik komen menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Chow Mun Fan, 43, dan Danny Antoni, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Sementara seorang muallaf, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, pula mengaku bersalah atas dua pertuduhan namun hukuman ke atas penganggur itu ditangguhkan pada 11 Mac untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes.

Mengikut pertuduhan yang dihadapi Mohamad Yazid, dia didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama 'Yazid Kong', pada 8.21 malam, 24 Februari 2019.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh seorang pengguna Facebook lain, laman profil 'Mohamad Syafiq' di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, pada 12 tengah hari, 1 Mac lalu.

Dakwaan ke atas Mohamad Yazid dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sementara itu, Mun Fan atau nama profilnya Alvin Chow didakwa atas satu pertuduhan membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum melayu dengan kaum bukan melayu menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil 'Alvin@Alvin15358333' .

Bagi kesalahan itu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mun Fan turut didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memuat naik hantaran yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac 2019.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Danny Antoni yang berasal dari Sarawak pula didakwa atas dua pertuduhan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil 'Danny A'antonio Jr' dengan pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Kesemua hantaran itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini.

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal.

Sementara itu Mohamad Yazid dan Mun Fan diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh manakala Danny tidak diwakili peguam.

Muhamad Asyraf berkata, pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana kesalahan serius yang dilakukan yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Tegasnya, tindakan-tindakan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh boleh mengundang kemarahan yang mana sekiranya tidak dikawal dengan baik boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Saya mohon tiada jaminan dibenarkan," katanya sambil menambah pihak pendakwaan komited untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan kepentingan awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Islam, Nabi: Tiga lagi ditahan, seorang diburu

Pada masa yang sama beliau menjelaskan, terdapat hampir 1,000 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berkaitan kes hina agama dan Rasulullah.

"Kesemua tertuduh perlu diasingkan sementara dari masyarakat dan akses internet kerana risiko adalah tinggi untuk mereka mengulangi kesalahan sama sekiranya jaminan dibenarkan.

Beliau turut memaklumkan, tertuduh Mung Fan pernah didakwa sebanyak dua kali di Kuala Lumpur dan Muar, Johor melibatkan kesalahan sama berunsur penghinaan bagaimanapun dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Mohd Sophian kemudian membuat hujahan tambahan dengan memberitahu, tertuduh memuat naik hantaran itu secara terancang dan menggunakan perkataan jelik dan keras dengan tujuan ingin meletakkan Nabi dan Islam ditempat yang serendah-rendahnya.

Mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 April depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!