Bajet 2022 pacu pertumbuhan ekonomi negara
KUALA LUMPUR - Kementerian Luar menyifatkan Bajet 2022 sebagai inklusif, berimpak tinggi dan penting kepada Keluarga Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyambut baik belanjawan itu berkata, ke arah memastikan penglibatan aktif Malaysia di forum serantau dan antarabangsa, Wisma Putra akan menggunakan peruntukan Bajet 2022 untuk memperkasa peranan serta fungsi Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara melalui komunikasi strategik dan diplomasi awam yang efektif.
“Usaha ini, antara lain merangkumi pemerkasaan penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia berasaskan diplomasi digital, dengan menaik taraf kemudahan ICT serta infrastruktur, penambahbaikan kebajikan pegawai serta pembangunan modal insan melalui program dan peluang latihan yang berterusan dalam usaha memperkasa modal insan.
“Kesemua inisiatif dan keutamaan ini adalah selaras dengan Kerangka Dasar Luar Malaysia serta Pelan Strategik Kementerian 2021–2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Saifuddin berkata, Wisma Putra yakin bahawa semua inisiatif dan aktiviti yang dirancang bagi tahun 2022 akan dapat dilaksanakan secara berkesan melalui kerjasama berterusan dengan Kementerian Kewangan serta kolaborasi strategik dengan kementerian dan juga agensi-agensi yang berkaitan.
Di bawah Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, Wisma Putra telah diperuntukkan sebanyak RM868,506,400.00 bagi tahun 2022 berbanding RM777,913,400 pada 2021.
Dari jumlah itu, Belanja Mengurus dan Belanja Pembangunan Tahun 2022 mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 8.13 peratus dan 44.68 peratus berbanding peruntukan diluluskan pada tahun lepas.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Malaysia akan terus memastikan penglibatan aktif dan efektif secara konsisten di platform antarabangsa serta serantau bagi mempertahan pendirian dan pandangan Malaysia dalam isu-isu global, antaranya ekonomi digital, diplomasi kesihatan, keselamatan siber, pembangunan mampan, pelucutan senjata nuklear dan perubahan iklim.
“Mengambil kira pandemik Covid-19 yang telah mengubah landskap diplomasi antarabangsa, Wisma Putra akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi serta memberi pulangan faedah kepada negara melalui platform dua hala dan pelbagai hala,” katanya.
Inisiatif-inisiatif itu termasuk kerjasama dan kolaborasi strategik dalam pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 serta program kerjasama antara syarikat pengeluar produk perubatan dan farmaseutikal dengan negara-negara berkepentingan, program “gelembung perjalanan” dan “laluan hijau timbal balik” bagi menggalakkan pembukaan sempadan serta pengembangan produk Malaysia yang lebih bersasar
“Langkah ini penting sebagai usaha untuk merancakkan semula hubungan Malaysia dengan ekonomi global dalam pasca pandemik serta mengangkat martabat Malaysia dalam kalangan masyarakat antarabangsa,” Saifuddin.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!