Hampir setengah juta belia jadi pengundi baharu
IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengesan terdapat 495,150 pengundi di negeri ini berusia 18 tahun dan ke atas akan mengundi untuk kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Amanah negeri, Datuk Asmuni Awi berkata, jumlah hampir setengah juta orang itu akan menjadi kumpulan yang memberi pengaruh besar terhadap keputusan pilihan raya.
Menurutnya, sebagai persediaan menghadapi PRU, Amanah telah memberi penekanan kepada pengundi baharu itu dengan mewujudkan medium media sosial sebagai langkah untuk mendekati dan berinteraksi.
"Tidak kiralah Pakatan Harapan (PH), UMNO mahupun Pas, masing-masing setuju untuk perlu sesuaikan diri, cari siapa mereka ini sebab kita lihat kelompok pengundi inilah yang akan jadi penentu kepada keputusan PRU akan datang.
"Di Perak, jumlahnya yang dapat kita kesan hampir setengah juta orang dan mereka ini merupakan pengguna media baharu, jadi mahu tak mahu kita kena gunakan pendekatan baharu sebagai satu cara jejaki mereka untuk sampaikan mesej kita," katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen Amanah Perak kali ke-6 di Wisma Amanah Perak, Greentown, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, Amanah telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menaik taraf sistem Ivoters yang mula dibangunkan sejak tahun lalu.
Katanya, sistem berkenaan bertindak sebagai medium 'big data' yang akan mengemas kini maklumat pengundi muda dan baharu yang telah dikenal pasti dari semasa ke semasa.
"Mana-mana nama yang telah dikesan itu, kita masukkan dalam sistem ini dan kita gunakan saluran ini untuk berhubung dan berkomunikasi dengan mereka.
"Setakat ini sistem ini berjalan dengan baik, walaupun agak perlahan namun sudah ada kemajuan dan kita harap dapat mencapai penggunaan yang maksimum menjelang PRU nanti," katanya.
Konvensyen Amanah Perak kali ke-6 yang diadakan secara maya itu turut mengumumkan pendirian untuk memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui kepimpinan parti.
Asmuni berkata, langkah itu sebagai persediaan parti menyediakan tokoh-tokoh baharu dalam kalangan pemimpin muda meneruskan legasi kepimpinan akan datang.
"Pemimpin sekarang yang kita tahu semuanya sudah berusia. Saya sendiri pun dah lebih 60 tahun. Walaupun ada dalam kalangan yang usianya 40 tahun lebih, jumlahnya terlalu sedikit untuk diketengahkan.
"Atas faktor itu kita beri penekanan dalam perkara ini, namun pemimpin itu perlulah dilengkapi dengan keperibadian yang tinggi, integriti, komitmen kepada parti dan ada kelulusan serta kemahiran dalam menguruskan organisasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!