MAFI cadang wujud jawatankuasa sekuriti makanan peringkat negeri

Ronald (kanan) diberi taklimat oleh Azmi (dua dari kiri) berhubung kaedah memerah susu secara moden yang dijalankan Farm Fresh sempena lawatan kerja ke Kompleks Tenusu Muadzam Shah pada Sabtu.
Ronald (kanan) diberi taklimat oleh Azmi (dua dari kiri) berhubung kaedah memerah susu secara moden yang dijalankan Farm Fresh sempena lawatan kerja ke Kompleks Tenusu Muadzam Shah pada Sabtu.
A
A
A

MUADZAM SHAH - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengemukakan cadangan bagi mewujudkan jawatankuasa sekuriti makanan peringkat negeri dalam usaha untuk memperkasakan semua subsektor agromakanan agar sekuriti makanan negara terus terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha itu memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri terutama dalam aspek keperluan tanah dan infrastruktur.

Menurutnya, cadangan itu akan dibawa ke jawatankuasa kabinet untuk dipertimbangkan.

"Jawatankuasa itu akan dianggotai pegawai tinggi peringkat Persekutuan dan negeri, wakil agensi di bawah MAFI dan negeri masing-masing.

"Kerjasama negeri perlu kerana usaha memastikan kelangsungan sekuriti makanan negara menjadi tanggungjawab bersama," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Kompleks Tenusu Farm Fresh Berhad di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin dan Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.

Sementara itu, Ronald berkata, peningkatan pengeluaran tenusu dan daging negara antara sektor yang akan dibangunkan secara agresif oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Artikel Berkaitan:

Ronald (kiri) diberikan taklimat berhubung operasi Farm Fresh sempena lawatan kerja ke Kompleks Tenusu Muadzam Shah pada Sabtu.
Ronald (kiri) diberikan taklimat berhubung operasi Farm Fresh sempena lawatan kerja ke Kompleks Tenusu Muadzam Shah pada Sabtu.

Menurutnya, ia bagi memastikan Tahap Sara Diri (SSL) bagi pengeluaran tenusu dan daging negara dapat ditingkatkan.

"Pada akhir RMK11, kita mampu hasilkan 22 peratus keperluan daging dan 62 peratus tenusu negara.

"Keadaan ini jelas memperlihat bahawa usaha meningkatkan pengeluaran tenusu negara telah berjaya, namun masih ada ruang untuk ia terus ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata, dalam RMK12, pelbagai program dilaksanakan kementerian termasuk Program Pembangunan Industri Tenusu Negara melalui peruntukan RM42 juta, Program Naik Taraf Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (RM16.4 juta) dan Program Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Ruminan Tenusu (RM48.88 juta).

"Di samping pelbagai program dan dana yang disediakan kerajaan, usaha ini juga memerlukan penglibatan pihak swasta untuk menterjemahkan kehendak kerajaan itu.

"Penglibatan pihak swasta penting di mana syarikat Farm Fresh boleh dijadikan contoh.

"Selain bersama membangunkan ruminan tenusu negara, syarikat ini juga berjaya melahirkan usahawan mikro dalam pengedaran dan penjualan produk tenusu yang dikeluarkan," katanya.

Tambah beliau, melalui pelaburan swasta dalam industri itu akan membantu meningkatkan SSL ruminan tenusu negara pada masa akan datang.

Pada sidang akhbar sama, Ronald berkata, MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sedang memperkasakan industri tenusu melalui pembangunan secara berfasa Lembah Tenusu Utara, Selatan, Borneo dan Lembah Tenusu Pantai Timur.

"Lembah Tenusu Muadzam telah menunjukkan kejayaan melalui Farm Fresh," katanya.

Tambah beliau, pemain industri ini dan semua rantaiannya disaran menggunakan aplikasi teknologi terkini untuk operasi lebih efisien dan meningkatkan pengeluaran.

"Usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN2.0) untuk menumpukan kepada industri yang menggunakan teknologi moden dalam perusahaan diusahakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!