Parti kerajaan bincang elak pertembungan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rundingan antara parti dalam kerajaan sedang berlangsung untuk mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi mandat oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk melakukan perbincangan sekali gus mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Beliau turut menjelaskan pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka hanya akan merugikan parti dalam kerajaan.

"Sebenarnya keputusan UMNO ialah berhasrat elakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan. Jika berlaku tiga penjuru ada pihak lain yang akan mendapat keuntungan.

"Memang mereka tunggu untuk melihat parti dalam kerajaan bertembung. Jika bertembung,mereka yang untung.

"Kata pepatah, antan lesung berlaga sesama sendiri, beras tertumpah, ayam yang kenyang. Kita sedang mengadakan rundingan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di sini pada Sabtu.

Pada Khamis lalu, UMNO memutuskan kerjasama dengan Pas akan diteruskan untuk menghadapi PRN Melaka.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu buat masa ini hanya berkerja sebagai salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRN Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai parti dalam PN, kami memberi tumpuan bersiap siaga jentera pilihan raya. Jika ada kerjasama dengan pihak lain, kami akan maklumkan kemudian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!