Fasiliti empat pintu masuk baharu ke negara dijangka selesai 2022
KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Empat fasiliti pintu masuk negara yang kini masih dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini atau menjelang awal tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesemua laluan itu melibatkan dua di negeri Sarawak dan masing-masing satu di Terengganu dan Johor.
"Pembinaan kesemua fasiliti itu bermula sejak Julai lalu. Kerajaan bersedia dan mahu memberi ruang kemasukan pelancong di samping sektor ekonomi di kawasan itu berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Desaru Coast di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Desaru Coast, Johor dan Terengganu selain laluan darat di kedua-dua lokasi di Sarawak.
Pembukaan pintu masuk itu juga turut membabitkan pembinaan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak sebagai usaha usaha membasmi masalah di sempadan.
Hamzah berkata, buat masa ini perkembangan terkini bagi kesemua lokasi pintu masuk itu juga tidak menunjukkan sebarang masalah besar tetapi sedikit isu berkaitan faktor kawasan di Sarawak kerana terletak di kawasan pedalaman.
"Bagaimanapun, perkara ini sudah kita bincangkan bersama kerajaan Sarawak dan jika tiada masalah akan berjalan seperti biasa dan akan umumkan secepat mungkin," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka mula beroperasi tidak lama lagi, Hamzah memaklumkan persediaan berkaitan perkara itu sedang dilakukan.
"Semalam (29 Oktober) semasa Kementerian Kewangan umumkan dalam Bajet 2022, Terminal Feri Desaru Coast ini ada disebutkan dan itu merupakan perkara baik serta sudah bersedia (untuk dibuka)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!