Mayat remaja lemas ketika memancing ditemukan
PONTIAN - Mayat remaja lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika keluar memancing bersama bapanya dengan menaiki bot di sini ditemukan pasukan penyelamat kira-kira jam 4.07 petang Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil berkata, mayat Mohd Akmal Jamaludin ditemukan unit penyelam yang terlibat dalam operasi tersebut.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dan dipercayai tersangkut di bawah tunggul kayu yang dilanggar oleh bot dinaiki mangsa dan bapanya.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Pontian bagi tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Mangsa yang berusia 17 tahun itu dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Pasar Awam Pekan Benut, di sini ketika keluar memancing bersama bapanya.
Difahamkan kejadian berlaku apabila mangsa terjatuh ke dalam sungai selepas bot yang dinaiki bapanya melanggar satu tunggul kayu di kawasan sungai berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!