Sukma 2022 diadakan sebelum Sukan SEA Hanoi

Ahmad Faizal menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SUKAN Malaysia (Sukma) 2022 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan sebelum temasya Sukan SEA Hanoi, dijangka berlangsung Mei depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia bagi memastikan usaha mencungkil bakat untuk mewakili negara pada temasya seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel di Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (10-25 September) dapat dijalankan.

Beliau berkata, negeri-negeri juga bersetuju untuk mencari jalan agar semua acara yang telah dipersetujui sebelum ini dapat diteruskan, manakala had umur bagi atlet juga ditingkatkan supaya semua atlet yang berlatih, dapat menyertai temasya berkenaan.

"Beberapa perkara seperti jumlah acara dan tarikh, akan diperhalusi oleh MSN dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal. Tahun depan adalah musim yang sibuk untuk sukan negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di sini pada Sabtu.

Ahmad Faizal juga tidak menolak kemungkinan beberapa acara diadakan di luar Lembah Klang, contohnya menembak di Ipoh dan pelayaran di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi.

"Semua sukan teras akan dianjurkan di satu tempat sebab mahukan kemeriahan itu dirasai, kecuali beberapa sukan di venue lain. Yang penting, Sukma ini diadakan supaya para atlet yang telah berlatih, dapat mengambil bahagian," jelasnya.

Jawatankuasa tertinggi Sukma pada Khamis lepas, bersetuju supaya Sukma dan para Sukma Johor 2020 yang sebelum ini ditangguhkan sehingga 2022, ditangguhkan lagi ke 2024, manakala MSN bersetuju untuk menganjurkan edisi 2022 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahmad Faizal memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap meneruskan program latihan dan persediaan atlet ke temasya-temasya sukan utama, walaupun peruntukan bagi tujuan itu tidak disebut dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

Artikel Berkaitan:

"Saya belum lihat secara terperinci, tapi kalau lihat peruntukan untuk sukan berprestasi tinggi, Program Podium (tidak disebut), jadi saya fikir mungkin telah dipotong. Namun, tentunya KBS akan cari jalan supaya usaha kita dalam lahirkan atlet prestasi tinggi dapat diteruskan, itu komitmen daripada KBS," katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus untuk meningkatkan program latihan atlet para dan melaksanakan Liga Sukan Para sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Peruntukan RM159 juta pula bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, RM50 juta bagi pembudayaan gaya hidup aktif, 'Fit Forever' serta Hari Sukan Negara (HSN), dan RM20 juta bagi pembangunan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2021 peringkat kebangsaan itu di sebuah hotel di sini. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!