Arsenal bawa pulang tiga mata berharga
ARSENAL melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Leicester City 2-0 di Stadium King Power sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan The Gunners mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh aksi liga sejak mengalami kekalahan besar 0-5 kepada Manchester City pada 28 Ogos lalu.
Selepas beraksi 10 perlawanan, skuad kendalian Mikel Arteta itu mengumpul 17 mata bagi memintas Manchester United dan Tottenham Hotspur yang akan beraksi tengah malam nanti.
Sebaliknya, kekalahan itu menyaksikan Leicester jatuh ke tangga ke-10 apabila kekal dengan merekodkan 14 mata selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini.
Bertandang ke gelanggang lawan, Arsenal tidak menunggu lama untuk merobek gawang Leicester hasil jaringan pemain pertahanan, Gabriel Dos Santos seawal minit kelima.
Pemain muda Arsenal, Emile Smith Rowe terus menampilkan sentuhan berbisanya apabila menambah gol kedua The Gunners pada minit ke-18.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!