Sri Pahang benam Penang FC
SRI Pahang FC kembali menghidupkan peluang mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas membenam Penang FC 4-0 di Stadium Darul Makmur, Kuatan sebentar tadi.
Sebelum turun melayani kunjungan Penang FC, Sri Pahang FC mengalami kekalahan dalam dua aksi awal Kumpulan A - masing-masing kepada Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United.
Bagaimanapun, skuad Tok Gajah seakan-akan 'bangkit daripada tidur yang panjang' apabila menampilkan permainan lebih kemas berdepan Penang FC.
Sri Pahang FC tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang lawan apabila Abdul Malik Mat Ariff membuka tirai jaringan seawal minit ke-11.
Dua minit babak kedua bersambung, pemain import, Manuel Hidalgo menjaringkan gol kedua Sri Pahang FC sebelum Abdul Malik meledak gol ketiga pada minit ke-55.
Abubakar Yakubu menyumbang gol keempat tuan rumah pada minit ke-72, sekali gus mengesahkan kemenangan sulung Sri Pahang FC dalam aksi Piala Malaysia musim ini.
Sementara itu, Kuala Lumpur City FC merampas kedudukan teratas Kumpulan A selepas membelasah Sarawak United FC 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur-.
Romel Morales membuka tirai jaringan skuad The Hawks pada minit kesembilan sebelum dia sekali lagi menggegar gawang Sarawak United berselang dua minit kemudian.
KL City FC terus berpesta menerusi dua jaringan pantas yang dihasilkan J Partiban pada minit ke-55 dan Ryan Lambert empat minit kemudian.
Kemenangan itu menyaksikan KL City FC mengumpul tujuh mata manakala Sarawak United yang mengumpul enam mata jatuh ke tangga kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!