TH sumbang van mudahkan pergerakan anak asnaf di Sabah

Wan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan penyerahan sumbangan replika kunci sumbangan van di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Wan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan penyerahan sumbangan replika kunci sumbangan van di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program Mobiliti TH menyumbang sebuah van kepada Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan, Sabah (PPPASN) untuk kegunaan anak-anak asnaf.

TH dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan sumbangan tersebut akan memudahkan pergerakan dan pengurusan berkaitan proses pembelajaran serta perubatan anak-anak asnaf di bawah pertubuhan tersebut yang berusia antara empat hingga 16 tahun.

“Faktor jarak pusat jagaan yang jauh ke bandar Sandakan sehingga 13 kilometer juga menjadi kekangan kepada mereka sebelum ini kerana terpaksa menyewa kenderaan luar dengan caj yang mahal atau melalui sumbangan individu dan persatuan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan nasib penghuni pusat jagaan ini,” menurut kenyataan itu.

Penyerahan replika kunci sumbangan van kepada PPPASN itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Wan Rohimi Wan Daud.

Dalam kenyataan yang sama, Wan berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat prihatin dengan apa yang dialami oleh segenap rakyat khususnya para asnaf yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha TH menyumbang kepada golongan sasar terjejas menerusi Program Mobiliti itu perlu dilihat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Konsep ini menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat, mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Melalui Program Mobiliti 2021, TH akan menyumbang sebanyak 25 buah van penumpang kepada rumah kebajikan terpilih di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagi tahun ini, TH turut memaklumkan penerima sumbangan di bawah program itu akan diperluaskan kepada rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua serta rumah untuk orang kurang upaya (OKU) bagi membantu memudahkan pergerakan dan pelaksanaan aktiviti serta program mereka.

TH turut memperuntukkan sebanyak RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!