Lagi desak Guan Eng letak jawatan

Syed Mohd Johan Rizal (enam, kiri) bersama wakil Pemuda Pas, MIC, MCA dan KKMK menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar.
Syed Mohd Johan Rizal (enam, kiri) bersama wakil Pemuda Pas, MIC, MCA dan KKMK menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terus didesak melepaskan jawatan dalam kerajaan susulan membuat kenyataan berbaur hasutan yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan Guan Eng itu tidak menggambarkan kewibawaan beliau untuk terus memegang jawatan sebagai menteri.

Menurutnya, kenyataan Guan Eng bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah biadab.

“Kenyataan berbaur hasutan seperti itu seolah-olah menjadikan beliau musuh utama negara dalam memupuk perpaduan kaum.

"Individu tidak beretika seperti itu, ibarat wabak penyakit,” katanya dalam kenyataan bersama Pemuda Pas Alor Setar, Pemuda MCA Alor Setar, Pemuda MIC Alor Setar serta Kelab Ketuanan Melayu Kedah (KKMK) Parlimen Alor Setar.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, Guan Eng sering melaungkan untuk perjuangkan peluang sama rata, pandangan beliau itu amat dialu-alukan namun bukan menyalahgunakan kuasa sebagai menteri.

“Perbuatan Guan Eng menggambarkan beliau seorang yang tidak cerdik, tidak bermoral dan berniat jahat.

"Kami tak boleh maafkan perbuatan beliau yang dianggap biadab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, apa yang berlaku telah mencemar nama baik Kementerian Kewangan apabila menterinya mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap UMNO dan Pas.

“Jika selepas ini beliau minta maaf, ia tak cukup. Kami sudah lali dengan permohonan maaf dan kemudian ulangi lagi.

"Sikap beberapa anggota kabinet kerajaan PH sebelum ini sudah sampai ke kemuncak dan tidak boleh lagi bertoleransi,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat berhubung kenyataan Guan Eng secara bersama, di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar, bagi menyiasat kenyataan beliau yang menyebut, kerjasama UMNO dan Pas adalah pengisytiharan perang terhadap masyarakat bukan Melayu.

“Laporan ini dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan bawah akta berkaitan kerana disifatkan menghasut, memecah-belahkan perpaduan dan boleh menjurus kepada pertelingkahan kaum,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, Peguam Negara wajar membuat pendakwaan terhadap Guan Eng bawah Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan atau mana-mana perundangan yang termaktub.

“Jika pendakwaan terhadap Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo boleh dibuat dengan cepat, kami juga mahu pihak berkuasa ambil tindakan segera terhadap Guan Eng,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!