32 pengunjung 'private party' dikompaun
KUALA LUMPUR - Seramai 32 pengunjung 'private party' dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Bukit Damansara di sini pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam serbuan jam 10 malam oleh anggota D7 dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu, dua pengunjung turut didapati positif dadah.
Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan susulan maklumat daripada orang awam.
"Serbuan mendapati 32 orang pengunjung warga tempatan dan seorang lelaki warga asing (penjaga rumah) sedang mengadakan majlis hari jadi.
"Kesemua pengunjung tiada rekod jenayah, manakala hasil ujian awal air kencing mendapati seorang lelaki dan wanita positif dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!