Abang Johari sedih pemergian Masing, kehilangan besar buat Sarawak

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

LAWAS - [DIKEMAS KINI] Pemergian Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang disahkan meninggal dunia pagi Ahad adalah satu kehilangan besar buat negeri itu.

Dukacita dengan berita itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kelihatan sebak ketika ditemui pemberita di sini, meluahkan rasa sedih dan mengakui pemergian rakan seperjuangannya itu memberi impak besar terhadap diri beliau.

Menurutnya, mendiang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan serta idea sepanjang berkhidmat dalam kabinet negeri termasuk dalam barisan kerajaan negeri pimpinan Abang Johari ketika ini.

“Beliau rakan dalam kerajaan ini yang banyak beri sumbangan dalam urus tadbir kerajaan. Saya berasa amat sedih dengan pemergian beliau. Saya rasa kehilangan besar sebagai rakan... takziah saya ucapkan kepada keluarga mendiang.

“Beliau banyak menyumbangkan kepada pembangunan orang luar bandar khususnya masyarakat Dayak di Sarawak,” katanya selepas melancarkan program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN-MYSRBN) Kampung Tengah di Trusan, Lawas pada Ahad.

Abang Johari berkata, Masing adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa rakyat, yang amat serius dalam membela nasib rakyat.

Masing disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching, kira-kira jam 7.05 pagi pada usia 72 tahun, dan berita pemergiannya dimaklumkan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Masing meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Corrine Masing dan lima orang anak.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Masing yang juga Presiden PRS telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif Covid-19, sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang, sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.

Beliau menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Januari 2017. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!