MKHA harap syarat permohonan geran padanan dilonggarkan

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) berharap syarat kelayakan permohonan geran padanan bagi tujuan pembaikan yang melibatkan peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022, dilonggarkan dan lebih fleksibel buat pemilik inap desa.

Presiden MKHA, Zohaime Muhamad Sori berkata, kekangan syarat yang terlalu ketat menyebabkan ada segelintir pemilik inap desa berputus asa dalam memohon peruntukan tersebut.

“Melalui geran sebelum ini, kami terpaksa melalui karenah birokrasi yang terlalu ‘rigid’ sehingga membebankan. Jadi kami berharap agar syarat kelayakan permohonan ini dapat dilonggarkan.

“Bagaimanapun, kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu pemilik inap desa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelancong, apatah lagi selepas hampir dua tahun tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, memperuntukkan RM1.6 bilion menerusi tujuh inisiatif utama bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Antaranya, peruntukan RM30 juta geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada pemilik inap desa dan 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun menyifatkan pembentangan Bajet 2022 bagi sektor pelancongan, memenuhi semua keperluan yang diminta oleh industri itu.

“Jika hendak dibandingkan dengan bajet sebelum ini, kali ini kami cukup berpuas hati dengan apa yang diberi oleh kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel pula berharap, kerajaan lebih prihatin kepada industri perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh, walaupun selepas pandemik berjaya dikawal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!