Pengundi muda: Pilih kerajaan jaga kebajikan rakyat
KUALA KANGSAR - Pembentukan kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum bergantung kepada pengundi muda yang kini semakin bertambah susulan pendaftaran pemilih secara automatik bagi individu berusia 18 tahun ke atas.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketiadaan parti yang dominan menerajui kerajaan menyebabkan pentadbiran tidak stabil.
Menurutnya, keputusan memilih kerajaan dan wakil rakyat tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata tetapi kemampuan untuk menguruskan rakyat.
"Saya nak ingatkan pengundi jangan ulangi kesilapan 2018. Rakyat memilih menjadikan tidak ada satu parti dominan menjadi kerajaan, ini berbahaya apabila dalam tempoh tiga tahun, kerajaan Persekutuan ada tiga Perdana Menteri. Keadaan itu bukan satu gambaran yang baik kerana kerajaan terumbang- ambing, rapuh.
"Nasihat saya kepada orang muda, bila undi jangan ikut emosi tetapi pilih kerajaan yang kuat untuk kebajikan kita," ketika program Moh Ngopi Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau di Kampung Padang Assam, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, mengambil contoh negeri yang dikuasai parti dominan seperti Perlis, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang, tiada sebarang pertukaran pentadbiran berlaku di negeri tersebut.
Sementara itu, ketika sidang akhbar Saarani menjelaskan, pendaftaran secara automatik pengundi baharu merupakan satu amanah untuk mereka memilih kerajaan yang baik.
Menurut beliau, pilihan perlu dibuat secara rasional dengan ilmu untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!