Sultan Selangor perkenan kapasiti solat Jumaat di Selangor ditambah

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan had jemaah solat Jumaat di masjid serta surau dengan kebenaran solat Jumaat di seluruh Selangor dinaikkan.

Menerusi kemas kini di Facebook Selangor Royal Office pada Ahad, pertimbangan dan keputusan itu diambil setelah baginda meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit di Selangor.

Menurut kenyataan itu, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah pada ketika ini.

"Masjid-masjid di daerah dinaikkan kepada 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

"Masjid-masjid institusi pula ditambah kepada 500 hingga 1,200 jemaah sementara masjid pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, sehingga 27 Oktober lalu statistik menunjukkan jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang yang separuh daripadanya merupakan orang Melayu beragama Islam.

Menurut kenyataan itu, dengan kelonggaran terbaharu tersebut, Sultan Sharafuddin mengingatkan jemaah mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di masjid.

"Pada masa sama, baginda berharap semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak Covid-19. Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Artikel Berkaitan:

"Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP menjadi punca kes positif Covid-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu lagi baginda menegaskan, rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi 'lockdown' seperti berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

"Untuk itu, baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat ALLAH SWT agar negeri dan negara yang dikasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka," tambah kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!