Tujuh lelaki ditahan pandu kereta secara berbahaya
SEREMBAN - Polis menahan tujuh lelaki dipercayai memandu kereta secara berbahaya dan bersaing sesama sendiri di Taman Matahari Heights menghala ke arah lampu isyarat Sri Pagi, Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban pada awal pagi Ahad.
Masing-masing ditahan semasa Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1 bermula pada jam 11 malam Sabtu oleh Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, mereka yang ditahan berumur dari 24 hingga 29 tahun.
"Penahanan mereka dilakukan selepas masing-masing didapati melakukan aksi memandu kereta secara bersaing sesama sendiri serta memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain yang menggunakan jalan berkenaan.
"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke BSPT IPD Seremban untuk tindakan lanjut dan permohonan reman dilakukan hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!