Tuchel gembira Chelsea terus menang
PENGENDALI Chelsea Thomas Tuchel nyata berpuas hati dengan kemenangan 3-0 The Blues ke atas Newcastle pada Sabtu, biarpun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama.
Menurut Tuchel, pemain yang diturunkan pada perlawanan berkenaan telah berjaya membuktikan kemampuan masing-masing ketika berdepan The Magpies.
“Saya kagum dengan aksi pemain yang diturunkan.
Seperti Reece James yang menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-65 sebelum menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-77.
“Dia (James), merembat bagaikan seekor kuda. Ketika menewaskan Norwich 7-0 minggu laiu, dia turut menjaringkan gol.
“Semoga selepas ini dia akan terus menjaringkan gol, terutamanya gol-gol penting apabila diturunkan kelak,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Jorginho menambah satu lagi gol buat The Blues menerusi sepakan penalti pada minit ke-81 bagi mengesahkan kemenangan.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea kian mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 25 mata hasil 10 perlawanan setakat ini.
Sementara itu Tuchel berharap agar rentetan kemenangan sejak kebelakangan ini tidak menjadikan skuad kendaliannya itu leka dan memandang mudah setiap lawan yang ditemui.
Katanya, perjalaan The Blues masih jauh dan pemain perlu terus kekal fokus bagi memastikan kejayaan yang berterusan.
“Kita perlu berpijak di bumi nyata.
Ya, saya gembira dengan kejayaan pasukan hari ini, tetapi dalam masa sama, kita juga tidak meraikan (kekalahan), pasukan lain.
“Ini kerana, pada bila-bila masa sahaja kita boleh ‘tersungkur.’
Oleh itu, kita perlu kelak fokus terhadap pencapaian kita sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!