RFB Zon Selatan diaktifkan jika banjir skala besar
MUAR - Pusat Pangkalan Hadapan (RFB) Zon Selatan akan diaktifkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, di Batu Pahat, sekiranya banjir berskala besar melanda kawasan selatan Semenanjung pada musim tengkujuh kali ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, RFB Zon Selatan itu turut beroperasi membabitkan anggota dan pegawai dari Melaka serta Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sekiranya berlaku banjir besar terutamanya di Johor, pasukan dari dua negeri berkenaan terlibat sama dengan bantuan logistik, yang akan diaktifkan membabitkan tugasan secara bergilir untuk tempoh tujuh hari serta tersedia 24 jam.
“Berkenaan cuti pula, buat masa ini ia akan dikawal dengan had 10 peratus sahaja dalam satu-satu masa, namun cuti akan dibekukan sekiranya berlaku bencana banjir.
“JBPM Negeri Johor juga menempatkan sekurang-kurang sebuah bot untuk sebuah balai dan mempersiapkan dua bot fiber bagi kawasan yang dilanda banjir kilat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Pengendalian dan Jurumudi Bot sempena Bulan Kesiapsiagaan di BBP Muar di sini pada Ahad.
Yahaya berkata, terdapat 33 balai bomba dan sebuah Pusat Kawalan Bomba di Benut, Pontian, melibatkan 1,284 anggota dan pegawai, serta dibantu 149 anggota bomba bantuan.
Beliau berkata, giliran tugas 12 jam anggota dan pegawai itu akan diubah kepada 24 jam sekiranya banjir bertambah buruk, dan semua anggota diminta berada dalam keadaan siap siaga setiap masa.
Menurut beliau lagi, JBPM Johor telah bersiap siaga dengan segala aset dan kelengkapan bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka melanda tidak lama lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!