Tok Gajah kembali lebih garang
TURUN dengan tekad menebus kesilapan dalam perlawanan terdahulu telah mengubah corak permainan Sri Pahang FC hingga berjaya membenam Penang FC 4-0, pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini malam Sabtu.
Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh mengakui pelbagai cara digunakan bagi menaikkan kembali semangat pemain, apabila masing-masing merasakan mereka sudah hampir tersingkir daripada saingan merebut piala berprestij itu, berdasarkan prestasi hambar sebelum ini.
“Pemain akhirnya turun dengan semangat berbeza bagi memburu kemenangan hari ini (malam tadi), dengan setiap seorang memberikan sumbangan kepada pasukan. Semangat berpasukan itu membantu kita memperoleh kemenangan besar.
“Kemenangan ini setidak-tidaknya memberikan harapan kepada kami, bahawa misi Piala Malaysia belum berakhir walaupun perjalanan kami selepas ini tidak mudah,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan tersebut, Abdul Malik Mat Ariff menyumbang gol pertama Tok Gajah pada minit ke-11 sebelum meledak gol keduanya pada minit ke-55, manakala dua lagi jaringan menerusi pemain import Manuel Federico Hidalgo (minit ke-47) dan Abubakar Yakubu (minit ke-72).
Kemenangan itu turut menghidupkan semula peluang skuad Tok Gajah merebut tempat ke suku akhir Piala Malaysia, selepas tewas dalam dua aksi awal kepada Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United.
Dollah berkata, antara faktor yang membantu mereka membenam pasukan lawan ialah dengan mengenal pasti kemampuan Abdul Malik di jentera serangan, yang sebelum ini sering bertukar posisi.
“Kehadiran Abdul Malik di hadapan membolehkan dia banyak membuka ruang di bahagian tengah,” katanya.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Tomas Trucha berkata, para pemainnya gagal beraksi sebagai satu pasukan yang menyebabkan kekalahan tidak dijangkakan itu.
“Sudah tentu kami datang dengan fokus untuk menang, tetapi keadaan berlaku sebaliknya apabila pemain gagal beraksi sebagai satu pasukan dan keadaan ini perlu diperbaiki,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!