BMS 2021 melebihi sasaran, catat RM155 juta jumlah deposit
SHAH ALAM - Sebanyak RM155 juta atau 141 peratus jumlah deposit Simpan SSPN diterima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2021.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, program bermula dari 1 Oktober sehingga 31 Oktober itu melepasi sasaran pihaknya iaitu sebanyak RM110 juta deposit.
“Ini merupakan satu kejayaan anda semua sebagai pendeposit Simpan SSPN di kala pandemik Covid-19 masih melanda negara. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pendeposit kerana anda berjaya menjadi Superhero anak anda.
“Pada tahun ini, PTPTN telah mensasarkan jumlah deposit sebanyak RM1.8 bilion dengan 400,000 pembukaan akaun baharu. Rekod sehingga September 2021 menunjukkan pencapaian sebanyak 315,984 akaun baharu Simpan SSPN.
Deposit diterima bagi tempoh sama adalah sebanyak RM1.78 bilion," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, bersempena Hari Tabungan Sedunia 2021 yang disambut setiap 31 Oktober, PTPTN mengadakan Majlis Penutup BMS 2021 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia secara dalam talian melalui Facebook PTPTN Official dan Youtube rasmi di PTPTN TV.
Kata beliau, BMS merupakan satu program yang telah dirangka dan dilaksanakan bermula tahun 2018 sebagai salah satu program promosi dalam usaha menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk membuat penabungan.
“Pelaksanaan program BMS 2021 kali ini, membawakan kelainan yang dilihat memberi impak positif kepada seluruh masyarakat Malaysia walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19.
“Ini jelas membuktikan bahawa PTPTN terus komited dan tidak pernah jemu mempromosi serta menghebahkan informasi mengenai Simpan SSPN untuk ibu bapa membudayakan perancangan kewangan demi pendidikan tinggi sekaligus memperkasakan lagi penabungan dalam kehidupan,” katanya.
Tambah Ahmad Dusuki, BMS 2021 dengan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda” mengajak ibu bapa menjadikan Simpan SSPN sebagai hadiah terindah dalam kehidupan anak-anak demi masa depan terjamin.
“Kekallah menjadi superhero sepanjang masa untuk anak anak dengan membuat perancangan kewangan dari awal bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna,” katanya.
Menurut beliau, selaras dengan tema Hari Tabungan Sedunia tahun 2021 iaitu “Hold on to your financial future” jelas menunjukkan bahawa penabungan dan budaya jimat cermat merupakan elemen penting dalam menentukan dan menjamin masa depan setiap individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!