PRN Melaka: Srikandi hantar nama enam calon

Rina Mohd Harun bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat Bergerak @ PSSS Mobile di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana Puchong hari ini. -Foto Bernama
Rina Mohd Harun bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat Bergerak @ PSSS Mobile di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana Puchong hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - Srikandi Bersatu menyerahkan enam nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, nama-nama calon daripada parti itu, yang terdiri dari anak tempatan dan muka baharu, telah diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

"Kami harap akan diberi peluang kepada Srikandi untuk menjadi calon, dan bukan sekadar calon tapi yang boleh menang dan dapat berkhidmat untuk rakyat di Melaka.

"Pada masa ini tiada wakil rakyat daripada Srikandi di Melaka, jadi semua (calon) muka baharu," katanya kepada media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mobil di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Ketua Wanita PN itu berkata, setakat ini perkara berkenaan masih belum diputuskan.

"Kita serahkan juga nama calon lain (wanita) daripada PN dan kami harap ia akan mendapat sokongan daripada semua supaya lebih ramai wakil rakyat dalam kalangan wanita, dan saya yakin jika diberi peluang mereka dapat menjalankan tugas dan tanggunggjawab dengan baik.

"Jumlah (calon) belum ditentukan kerana ada beberapa menuntut kerusi antara parti dan ia masih lagi dalam proses," katanya.

Sebelum ini, PN menerusi Muhyiddin berkata, gabungan itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 November hari penamaan calon dan 16 November tarikh undi awal. -Bernama