Kaji semula elaun anggota bomba

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan disarankan supaya mengkaji semula Elaun Bayaran Insentif Bomba (Elaun BIB) kepada anggota bomba dan penyelamat.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pada masa ini elaunnya ialah RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan 80 sen setiap jam untuk syif 24 jam.

“Kadar ini sangat kecil jika dikira pada masa ini dan perlukan pengkajian semula.

Sumbangan dan jasa pasukan bomba merupakan antara yang perlu diberi keutamaan.

“Pekerjaan mereka yang turut berada sebagai barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar.

Oleh itu, jasa mereka perlu dibayar dengan harga yang bersesuaian,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Lam Thye berkata, beliau melihat insentif kepada bomba tidak setimpal bagi mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat.

“Kita semua maklum bahawa bidang ini adalah yang paling utama dalam sektor pekerjaan bomba.

Artikel Berkaitan:

Mereka bekerja selama 24 jam secara syif, bermakna perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

“Contohnya, menangani kes kebakaran, mencari dan menyelamat yang bukan sahaja manusia, malah haiwan.

Oleh itu, peningkatan elaun perlu dikaji dengan teliti terutama bagi bahagian operasi,” ujarnya.

Lam Thye selain itu berkata, terdapat juga keperluan menaikkan Elaun Perkhidmatan Bomba (BIPB) daripada RM200 kepada RM250.

“Peningkatan elaun perkhidmatan merupakan salah satu inisiatif yang diberikan bagi menggalakkan dan menghargai semua pekerja dalam semua sektor.

Saya melihat peningkatan elaun khususnya bomba amat penting.

“Memandangkan Bajet 2022 ada menyediakan peruntukan untuk kebajikan anggota polis dan tentera, saya harap kebajikan dan elaun anggota bomba juga boleh diberi perhatian dan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga keperluan untuk membangunkan aset seperti jentera bomba, peralatan menyelamat seperti air, darat dan udara serta peralatan khusus bagi tempat yang tinggi dan berbahaya.

“Barang-barang yang digunakan sekarang sudah terlalu lama, tidak boleh digunakan secara maksimum dan memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.

“Justeru, pemfokusan terhadap pembelian keperluan pembangunan aset dan peralatan perlu dititik beratkan terutama peralatan utama seperti hos air, pengangkutan dan segala alat menyelamat yang memerlukan pembaharuan agar kerja dan operasi berjalan lancar.

“Keperluan ini adalah untuk memastikan lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

Tiada salahnya untuk membelanjakan peruntukan keperluan ini kerana ia di bawah skop utama ahli bomba sendiri,” ujar beliau.

Lam Thye turut mencadangkan agar bajet penyelenggaraan membabitkan bomba dikaji dan ditingkatkan.

“Kos penyelenggaraan seharusnya benda wajib yang perlu diberi perhatian.

Hal ini amat penting khususnya bagi sektor keselamatan yang memerlukan penggunaan teknologi dan alatan yang sudah semestinya memerlukan kos yang tinggi,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!