Kedah persiap ke arah evolusi ekonomi digital
ALOR SETAR – Kedah sedang mempersiapkan diri berdepan ekonomi digital yang akan menjadi asas kepada ekonomi moden pada masa hadapan.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha itu diterapkan menerusi Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035) dengan mengenalpasti segmen kemakmuran ekonomi sebagai antara teras utama memacu pembangunan ke arah negeri sejahtera dan berdaya huni menjelang 2035.
Menurut Muhammad Sanusi, ia penting kerana individu yang memiliki kemahiran digital terhad akan terkesan akibat evolusi automasi dan teknologi.
“Ekonomi global kini berlaku begitu pantas dan meluas melangkaui jangkaan. Untuk menjadi negeri atau negara yang makmur dan berpendapatan tinggi, pembangunan bakat adalah amat penting.
“Sehubungan itu, sistem pendidikan perlu melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri,” katanya ketika merasmikan program penutup MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah (MaiReka) di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi berkata, ekonomi digital akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu seperti perekacipta animasi, pengendali dron, pakar rangkaian, pembangun aplikasi mudah alih, saintis data dan pakar komuniti dalam rangkaian sosial.
“Rangka tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia menjadi pemangkin kepada aspirasi MyDIGITAL antaranya, meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitalan, membangunkan bakat digital yang kompeten serta mewujudkan masyarakat digital yang inklusif,” katanya lagi.
Menurutnya, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri melahirkan bakat digital yang kalis cabaran pada masa hadapan dan secara tidak langsung memacu pertumbuhan ekonomi khususnya ekonomi digital.
“Program MaiReka Kedah berlangsung selama seminggu dan program julung kalinya diadakan secara maya atau ‘virtual’ ini berjaya menarik penyertaan 7,322 peserta berbanding sasaran awal seramai 5,450 peserta.
Peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah serta guru dan kaunselor dari seluruh negeri Kedah,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, program strategik tersebut merupakan acara perdana gerakan #MyDigitalMaker bawah kelolaan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang diterapkan dalam modul Kedah Digital Centre (KDC) selaku Pusat Latihan Digital Negeri.
“Selain membentuk komuniti digital daripada golongan pelajar dan warga pendidik, penyertaan kali ini turut menyasarkan rakan industri dalam bidang teknologi digital seperti IBM, Digital Classroom Malaysia dan Tiktok untuk berkongsi kepakaran dan ilmu berkaitan,” katanya.
Menurutnya, tagline MaiReka bertepatan dengan matlamat penganjuran program untuk menggalakkan daya kreativiti dan inovatif dalam kalangan peserta menangani cabaran dalam transformasi digital.
“Kerajaan negeri sedar kepentingan untuk membangunkan serta mempersiapkan modal insan berkualiti dan berdaya saing bagi mendepani keperluan bakat digital masa hadapan.
"Kejayaan ini merupakan kerjasama hasil gandingan pelbagai pihak dari semua rangkaian jabatan dan agensi kerajaan, swasta, rakan-rakan industri dan komuniti,” katanya.
Muhammad Sanusi berharap golongan pelajar yang terlibat dapat meningkatkan daya kreativiti dan daya cipta untuk menambah baik atau mencipta produk dan kemudahan yang mampu menjadi faktor penarik kepada pelabur dan masyarakat kelak.
“Berdasarkan statistik Bengkel Fotografi, Minecraft Education, Mobilegraphy dan Tiktok Pendidikan merekodkan penyertaan peserta tertinggi.
"Segmen lain untuk mencungkil bakat peserta antaranya, teknologi robotik dan penciptaan ‘makers’, pemasaran digital, bengkel reka bentuk 3D, pengaturcaraan, pengekodan, pembangunan aplikasi serta animasi dan multimedia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!