Kompleks LKIM Kuala Selangor jadi ibu pejabat negeri tahun depan
KUALA SELANGOR - Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor akan beroperasi sebagai ibu pejabat baharu LKIM Selangor pada tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kompleks seluas dua hektar itu akan menggantikan Pejabat LKIM Selangor di Seksyen 11 Shah Alam.
Menurutnya, seramai lebih 50 pegawai dan kakitangan akan berpindah ke kompleks terbabit bagi membantu dan memudahkan urusan nelayan sekitar kawasan Selangor Utara membabitkan Sabak Bernam hingga Kuala Selangor.
"Ada beberapa isu teknikal seperti pembesaran ruang pejabat sebelum semua urusan pemindahan ke Kompleks LKIM ini (Kuala Selangor)," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Road To Jubli Emas 50 Tahun LKIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Nelayan Peringkat LKIM Negeri Selangor di sini pada Ahad.
Syed Abu berkata, dengan pemindahan kompleks LKIM Kuala Selangor yang terletak di tepi Sungai Selangor itu ia diharap dapat merancakkan lagi aktiviti nelayan sekitar kawasan berkenaan.
"Pada mulanya memang ada keberatan untuk berpindah, tetapi sebagai agensi mengurus selia dan menangani pelbagai isu melibatkan nelayan kita mesti dekat dengan golongan ini serta menghayati kehidupan mereka," katanya.
Menurutnya, LKIM juga melihat peluang dan potensi pelancongan kepada nelayan di sekitar Kuala Selangor.
"Kami berharap dapat membuat pelbagai aktiviti pelancongan selain menyediakan kemudahan pendaratan ikan yang moden serta mewujudkan lebih peluang perniagaan untuk pasaran lebih kompetetif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!