Kompaun dikeluarkan kepada parti politik kerana gagal patuh SOP

Datuk Abdul Majid Mohd Ali
Datuk Abdul Majid Mohd Ali
A
A
A

MELAKA - Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), menyebabkan parti politik dikompaun di Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, antara pelanggaran SOP yang dilakukan adalah menggalakkan orang ramai berkumpul di sesuatu tempat, tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak menyediakan Kod QR MySejahtera dan cecair pembasmi kuman.

“Kita mengambil tindakan tanpa memilih parti, kerana keutamaan kita adalah (untuk) menjaga keselamatan awam. Kami ‘buta warna’ tentang parti politik, kerana polis adalah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mendaulatkan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas operasi Op Jihad Dadah di Krubong pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua kompaun yang telah dikeluarkan di Melaka, membabitkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada 27 Oktober lepas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada semalam.

Mengenai jumlah kompaun yang dikenakan, Abdul Majid berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh merujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk rayuan pengurangan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid menjelaskan, jumlah tangkapan penagih dadah di negeri ini meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada 1,629 orang dalam tempoh 1 Januari hingga semalam, berbanding 1,399 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, usaha memerangi aktiviti penagihan dadah menerusi Op Jihad Dadah akan terus diperkasakan, dan setakat ini enam lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas penagihan iaitu di Krubong, Tanah Merah Jaya, Pantai Kundor, Bukit Tembakau, Kampung Berangan Enam dan Ayer Hitam Pantai. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!