Lebih baik lanjutkan moratorium
ADA rakyat yang kecewa apabila Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mengumumkan pengeluaran tambahan duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.
Pemuda UMNO juga kecewa apabila tiada pengumuman mengenai pengeluaran sebanyak RM10,000 secara one off seperti yang dikemukakan Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam memorandum dengan segala justifikasi berpandukan rintihan rakyat kepada Tengku Zafrul dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebenarnya kerajaan sudah membuat keputusan yang tepat apabila tidak membenarkan lagi pengeluaran tambahan wang yang tujuan asalnya disimpan untuk kegunaan hari tua.
Jika dihitung secara kasar, contohnya seorang pencarum itu telah mengeluarkan RM10,000 melalui i-Citra dan RM5,000 melalui i-Lestari, maka sudah RM15,000 dikeluarkan daripada simpanan persaraan.
Sekiranya dibenarkan lagi pengeluaran sebanyak RM10,000, maka secara totalnya sebanyak RM25,000 telah dikeluarkan daripada simpanan KWSP.
Dengan hampir separuh pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam KWSP, kebenaran pengeluaran tambahan adalah tidak praktikal untuk membantu rakyat dalam pasca Covid-19.
Tambahan pula, ia adalah wang simpanan sendiri, titik peluh yang sepatutnya digunakan pada hari persaraan yang mungkin lebih mencabar daripada Covid-19.
Adalah lebih baik, kerajaan mewajibkan pihak bank melanjutkan moratorium tanpa faedah secara automatik kepada semua peminjam yang masih terkesan dengan pemotongan gaji dan hilang sumber pendapatan.
Lanjutan moratorium tidak akan memberi kesan yang besar kepada bank kerana berdasarkan kepada laporan-laporan berita, bank-bank tempatan masih mencatatkan keuntungan juta-juta dan bilion-bilion di sebalik pandemik yang melanda.
Inilah masanya bank meneruskan bantuan kepada peminjam yang sebelum ini banyak menolong bank-bank mencatatkan keuntungan berlipat kali ganda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!