Bukan culik, tapi...
KUANTAN - Kejadian kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang dipercayai dilarikan seorang wanita tidak dikenali dari sebuah taska di Bukit Goh di sini bukanlah kes culik.
Kejadian itu yang tular melalui aplikasi Whatsapp hari ini sebenarnya berlaku disebabkan salah faham.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, wanita yang dikatakan melarikan kanak-kanak itu sebenarnya ibu kepada salah seorang kanak-kanak taska berkenaan.
Menurutnya, wanita tersebut datang ke taska itu untuk menjemput anaknya kira-kira jam 12.30 tengah hari dan ketika itu kanak-kanak terbabit ada bersama anaknya.
“Wanita terbabit mengambil kanak-kanak itu untuk dihantar pulang namun tidak mengetahui rumah keluarganya lalu dibawa ke rumah tanpa memberitahu sesiapa.
‘Kehilangan kanak-kanak itu disedari ibunya yang datang untuk menjemput kira-kira jam 12.45 tengah hari, namun dimaklumkan oleh guru taska itu anaknya sudah dibawa pulang oleh seorang wanita," katanya.
Mohd Nor berkata, ibu kanak-kanak terbabit cuba mencari namun tidak menjumpainya.
“Kira-kira jam 1.30 tengah hari, kanak-kanak itu dihantar pulang ke rumah datuknya di kawasan sama oleh wanita yang mengambilnya dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira jam 210 petang anggota polis Pondok Polis Bukit Goh memanggil wanita itu, ibu kanak-kanak terbabit dan guru taska untuk diambil keterangan.
“Hasil keterangan mendapati kejadian berlaku akibat salah faham dan mereka bersetuju selesaikannya cara baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!