i-GPS bantu penuntut beli tiket balik Sarawak naik 'belon'

Kerajaan Sarawak memberi subsidi tiket penerbangan sebanyak RM300 kepada penuntut dari negeri itu yang layak di Semenanjung, Labuan dan Sabah bagi perjalanan pulang ke Sarawak. - Foto fail Bernama
Kerajaan Sarawak memberi subsidi tiket penerbangan sebanyak RM300 kepada penuntut dari negeri itu yang layak di Semenanjung, Labuan dan Sabah bagi perjalanan pulang ke Sarawak. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebelum ini, penuntut tahun tiga jurusan undang-undang Universiti Malaya (UM), Arif Adam Patahul Ariffin sering berfikir dua kali jika mahu pulang ke kampung halamannya di Bintangor, Meradong, Sarawak setiap kali cuti semester atau musim perayaan.

Harga tiket yang mahal ditambah pula dengan kos sara hidup tinggi, menjadikan anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa berkira-kira bagi memastikan tidak kehabisan ‘wang saku’ semata-mata kerana mahu menaiki kapal terbang atau biasa disebut ‘belon’ dalam kalangan orang Sarawak, untuk balik kampung.

Bagaimanapun, Arif yang berkongsi kisahnya kepada Bernama berkata, beliau berasa bertuah menjadi antara ribuan yang menerima manfaat daripada Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) diperkenalkan kerajaan Sarawak bermula 2019.

“Setakat ini, sudah tiga kali saya membuat permohonan inisiatif ini, dua kali pada 2019 termasuk pada musim perayaan Tahun Baharu Cina dan sekali pada 2020. Alhamdulillah semuanya diluluskan.

“Inisiatif ini sangat membantu mengurangkan kos perjalanan pulang ke Sarawak, malah adik perempuan saya yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perak juga dapat dan kami pernah balik kampung sama-sama,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Mahasiswa Sarawak UM.

Melalui inisiatif itu, kerajaan negeri memberi subsidi tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk penuntut Sarawak yang layak di Semenanjung, Labuan dan Sabah bagi perjalanan pulang ke Sarawak, dengan permohonan boleh dibuat dua kali dalam setahun.

Inisiatif yang dikendalikan Sarawak Volunteers dan Yayasan Sarawak itu diumumkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Program Lan Berambeh Anak Sarawak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 2018.

Ia setelah penuntut Sarawak menyuarakan kepada kerajaan negeri supaya membantu mereka membeli tiket penerbangan untuk pulang bertemu keluarga tersayang terutamanya semasa musim perayaan.

Artikel Berkaitan:

Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dayang Nur Ainin Sofiya Abg Mortadza berkata, kebiasaannya harga tiket penerbangan akan melonjak tinggi ketika musim perayaan menyebabkan ada di antara penuntut yang terpaksa memendamkan sahaja hasrat untuk pulang bertemu keluarga masing-masing.

Beliau yang berasal dari Miri berkata, ini kerana mereka terpaksa berjimat memandangkan pinjaman pembiayaan atau biasiswa yang diperoleh kadang-kadang hanya ‘cukup makan’ bagi menampung kos sara hidup dan keperluan pembelajaran di perantauan.

“Sebab ada i-GPS, dapat tolong sikit beban dari segi beli tiket belon and kmkorg student nang rasa berterimak kasih. (Sebab ada i-GPS dapat mengurangkan beban beli tiket kapal terbang dan kami pelajar memang berterima kasih). Ia memang membantu kami dari segi perbelanjaan untuk pulang ke kampung dan kami amat bersyukur,” katanya yang turut memuji pengurusan cekap dan kurang birokrasi dalam prosedur permohonan inisiatif itu.

Penasihat Sarawak Volunteers yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazruddin Abdul Rahman berkata, dari Februari 2019 hingga 29 Oktober lepas, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10.7 juta bagi inisiatif tersebut.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 49,195 permohonan telah diterima dan 34,905 daripadanya telah diluluskan, iaitu sebanyak 18,118 pada 2019; 13,167 pada tahun lepas dan 3,620 setakat tahun ini.

“Ini merupakan antara inisiatif yang membuktikan keprihatinan Ketua Menteri terhadap keperluan dan kemahuan belia di Sarawak. Setakat ini beliau komited untuk meneruskan inisiatif ini.

“Malah sewaktu pandemik Covid-19 ramai pelajar terjejas dan kerajaan negeri beri pertolongan dari segi sumbangan makanan dan membawa balik pelajar melalui penerbangan yang ditempah khas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain i-GPS, kerajaan Sarawak juga memberi bantuan sebanyak RM30 juta kepada siswazah anak Sarawak bagi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain menyediakan biasiswa dan bantuan pendidikan di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi untuk meringankan beban persekolahan dan pengajian anak-anak Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!