Syarikat swasta minat taja program sukan berprestasi tinggi

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

BEBERAPA syarikat swasta menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memberi tajaan kepada kelangsungan program sukan berprestasi tinggi tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagaimanapun mengakui tawaran yang diterima masih belum mencukupi, justeru mengajak syarikat swasta serta badan korporat yang lain bekerjasama dengan KBS membantu atlet menjalani latihan menerusi program itu supaya mereka dapat terus bersaing di peringkat tertinggi.

Memandangkan Bajet 2022 tidak menyentuh mengenai peruntukan program sukan berprestasi tinggi, Ahmad Faizal berkata, penajaan amat penting kerana atlet kebangsaan akan berdepan tiga temasya besar tahun depan iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Sebagai contoh, walaupun tiada peruntukan untuk Program Podium, KBS tentunya akan mencari jalan melakukan kerjasama dengan syarikat swasta bagi mendapatkan penajaan.

“Malah, saya sendiri sudah mula dapat tawaran daripada syarikat swasta untuk bekerjasama dalam hal ini,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Faizal sebelum ini menjadi tetamu undangan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan topik ‘Bajet 2022: Cahaya Buat Belia dan Industri Sukan Negara’ malam Ahad.

Ditanya mengapa tiada peruntukan berkenaan disediakan dalam Bajet 2022, beliau menjelaskan pandemik Covid-19 mengakibatkan kerajaan lebih mengutamakan usaha membaik pulih ekonomi rakyat berbanding penyediaan dana ke arah lain.

“Covid-19 memberi kita hikmah dan semangat kita jaga kita. Saya lihat dengan semangat ini syarikat swasta mahupun orang ramai tampil membantu kerajaan termasuk (dalam bidang) sukan pada tahun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus untuk meningkatkan program latihan atlet para dan melaksanakan Liga Sukan Para sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Peruntukan RM159 juta pula bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, RM50 juta bagi pembudayaan gaya hidup aktif, 'Fit Forever' serta Hari Sukan Negara (HSN), dan RM20 juta bagi pembangunan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

Menyentuh mengenai Bajet 2022, Ahmad Faizal berkata, kejayaan atlet di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menyumbang tiga pingat emas dan dua perak, diiktiraf kerajaan menerusi peruntukan RM10 juta untuk golongan itu selepas mereka menceriakan rakyat Malaysia tatkala negara bergelut dengan wabak tersebut.

Selain itu, kewujudan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron merupakan inisiatif paling menarik perhatian dalam bajet kali ini dan memuji langkah Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan berkenaan memandangkan pembangunan sukan dron serta pembuatan alat itu semakin mendapat tempat di negara ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!