31 tan bekalan makanan dihantar ke Pulau Tioman
ROMPIN - Sebanyak 31 tan bekalan makanan telah dihantar ke Pulau Tioman untuk diagihkan ke lima pangkalan hadapan di pulau peranginan itu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, bekalan makanan yang disediakan kerajaan negeri Pahang itu dihantar menggunakan tiga kapal yang disewa khas.
Menurutnya, penghantaran bekalan makanan itu ditingkatkan daripada 19 tan tahun lalu kepada 31 tan kali ini.
"Tambahan bekalan itu mengambil kira tempoh penggunaan bekalan yang dipanjangkan kepada 10 hari berbanding hanya seminggu tahun lalu.
"Bantuan makanan yang disediakan ini akan diagihkan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) di pulau berkenaan apabila bermulanya musim tengkujuh," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Zulkhairi sebelum itu menyertai program misi penyelarasan bekalan makanan persediaan bencana ke Pulau Tioman bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.
Beliau berkata, bantuan itu dilaksanakan setiap tahun untuk manfaat lebih 750 KIR dan 2,800 ahli isi rumah di pulau itu ketika musim Monsun Timur Laut.
"Selain bekalan makanan kering, turut disediakan bantuan barangan seperti selimut, toto, tuala dan kain pelikat," katanya.
Tambah beliau, peruntukan bantuan pangkalan hadapan di Pulau Tioman bernilai RM350,000 yang disediakan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat dalam kesusahan.
"Kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pasaraya Darul Makmur (PDM) milik MUIP yang bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan barangan kepada semua 140 pangkalan hadapan di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!