KPKT kaji Akta Sewaan Kediaman
KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menjalankan kajian dan penggubalan Akta Sewaan Kediaman atau Residential Tenancy Act (RTA) bagi melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kajian itu bermula pada Jun tahun lalu.
Beliau berkata, ketika ini penyediaan perjanjian penyewaan kediaman menggunakan tatacara Akta Kontrak 1950 dan perjanjian itu bersifat umum yang tidak komprehensif serta tidak melindungi sepenuhnya kepentingan serta hak penyewa dan pemilik premis.
"Akta baharu ini digubal berdasarkan model Residential Tenancies Act 2010 (New South Wales) Australia yang mampu melindungi kepentingan pemilik kediaman dan penyewa. Pada masa yang sama, undang-undang berkaitan dari Jerman, United Kingdom, dan Australia serta Rental Housing Act dari Afrika Selatan juga turut dibuat perbandingan.
"Sepanjang proses penggubalan Akta RTA ini, sesi pengumpulan maklumat, data dan konsultasi dengan pihak berkepentingan termasuk di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan Profesional, pihak swasta, pemaju dan pihak yang berkepentingan diadakan dari masa ke masa bagi tujuan kajian ke atas isu-isu gubalan Akta RTA ini," katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) yang mahu kementeriannya menyatakan bila akta RTA akan dikemukakan di Parlimen.
Menurut beliau, selain sesi libat urus yang komprehensif dengan pelbagai pihak berkepentingan, Regulatory Impact Assessment (RIA) akan turut dilaksanakan bersama pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (Malaysia Productivity Corporation, MPC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!