Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ketiga 2021 dipamer mulai Selasa

SPR pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun ketiga 2021 selama 14 hari bermula Selasa hingga 15 November di 854 tempat di seluruh negara. - Foto Bernama
SPR pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun ketiga 2021 selama 14 hari bermula Selasa hingga 15 November di 854 tempat di seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun ketiga 2021 (ST3/2021) selama 14 hari bermula Selasa hingga 15 November di 854 tempat pameran RDPT di seluruh negara.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, RDPT ST3/2021 itu mengandungi 68,228 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 15,143 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 Julai 2021 hingga 30 September 2021.

Semakan RDPT ST3/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah iaitu hadir ke 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara dan mengimbas kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

Semakan juga boleh dibuat di portal rasmi pejabat Pilihan Raya Negeri, hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST3/2021 yang disediakan, portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau melalui aplikasi MySPR Semak.

"Semua pemohon dinasihatkan supaya menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2021. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2021, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ikmalrudin berkata, bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST3/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

"Semasa tempoh Pameran RDPT ST3/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002," kata Ikmalrudin.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!