1,000 gerai burger bakal dibuka bantu golongan terjejas pandemik
SUNGAI PETANI - Sebanyak 1,000 gerai burger bakal dibuka di utara dan pantai timur sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
Pengarah Urusan Murtada International Sdn Bhd, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan pembukaan itu dilaksanakan pada 2023.
Menurutnya, menyedari banyak pihak terjejas dan kehilangan pekerjaan akibat pandemik, pihaknya menyediakan platform itu bertujuan membantu golongan terbabit bangkit semula setelah ditimpa musibah.
"Kita sediakan pekerjaan dengan gaji RM1,200 sebulan selain tambahan komisen melalui bilangan burger yang dijual, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya selepas melakukan pelancaran pembukaan 10 gerai burger sekitar Sungai Petani pada Ahad.
Pelancaran turut disertai pengasas Syukor Burger, Syukor Majid
Mohammad Yaakub Yusra yang juga Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad) turut mengedarkan 2,000 burger percuma kepada orang ramai di hadapan premis Madad di Sungai Jagung bermula jam 3 hingga 6 petang.
"Setakat ini, sebanyak 700 cawangan Syukor Burger telah dibuka di seluruh negara dalam tempoh pandemik dan pertambahan ini diharap memberi manfaat kepada lebih ramai golongan," katanya.
Jelasnya, keuntungan daripada perniagaan burger terbabit bukan sahaja dapat menjana pendapatan sekali gus membantu menampung perbelanjaan Madad yang kini mempunyai 35 orang pelajar.
Pelajar berusia 12 dan 13 tahun yang kurang berkemampuan dari seluruh negara itu diberi peluang pengajian dalam bidang al-Quran, hadis dan akademik di Madad secara percuma.
"Setakat ini, Madad yang diwujudkan sejak 2019 telah melahirkan tiga pelajar yang selesai 30 juzuk dan seorang daripadanya telah menyambung pengajian bahasa Arab ke Yaman," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!