Deepavali: Ayam standard dijual RM9.50 sekilogram

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Harga runcit ayam standard dijual pada RM9.50 sekilogram di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 bermula Isnin hingga Ahad ini (7 November).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan di bawah skim tersebut terdiri barangan keperluan utama semasa sambutan perayaan itu.

Menurutnya, pelaksanaan kawalan harga itu bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan menjelang Deepavali Khamis ini.

"Pengguna di Selangor tidak perlu risau dengan kecukupan bekalan kerana kedudukan bekalan semasa adalah stabil sehingga menjelang musim perayaan.

"Peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Menurut beliau, barangan yang tersenarai dalam skim kawalan harga ialah telur gred A,B dan C, ayam (hidup, standard dan super) selain daging kambing import bertulang, tomato, cili merah, kelapa parut serta kelapa biji.

Jelasnya, aduan berhubung kegagalan peniaga mematuhi undang-undang di bawah skim ini, boleh disalurkan melalui WhatsApp di 019- 279 4317, portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1800 886 800

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!