LHDN saman Addy Kana tuntut RM1.4 JUTA
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,427,915.45.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 1 Oktober lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Zaidi, 37, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama dua tahun.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.
“Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” menurut Kerajaan Malaysia dalam pernyataan tuntutan itu.
Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.
“Plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 November ini untuk memaklumkan mengenai status serahan saman itu.
Pada 28 Oktober lalu, kerajaan memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada Addy Kana, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah Persekutuan pada 27 April lalu memerintahkan Addy Kana dan dua anggota polis yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian dibebaskan serta-merta.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka terhadap permohonan writ habeas corpus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!