Laksanakan apungan harga beras jika tiada tambahan subsidi: PeSAWAH
ALOR SETAR - Kerajaan disaran melaksanakan sistem apungan harga beras sekiranya sudah tidak lagi memberikan tambahan subsidi sebagai balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd Fuad Yaacob berkata, pesawah terpaksa menanggung kos yang meningkat berkali ganda setiap tahun, namun jumlah subsidi diterima tetap sama.
Menurutnya, ia seolah-olah tidak seimbang kerana harga beras dan padi tidak dinaikkan seiring dengan kos.
“Rakyat dan pemimpin negara perlu faham bahawa subsidi yang diberikan kepada pesawah adalah untuk rakyat menikmati harga beras tempatan lebih murah berikutan harganya dikawal.
“Selama ini, harga beras dikawal pada RM2.60 sekilogram (kg), manakala harga minimum terjamin padi iaitu sudah menjadi harga tetap di peringkat kilang ialah RM1.20 sekilogram.
"Ini tidak termasuk potongan pemutuan untuk mendapatkan berat bersih yang semakin tinggi oleh kilang beras. Ini bermakna beras murah yang dinikmati rakyat sebenarnya ditanggung 100 peratus oleh pesawah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Fuad berkata, pada masa sama, kerajaan memberi bantuan kewangan kepada rakyat susah untuk membeli beras yang mengalami kenaikan harga.
"Ini tidak adil kepada pesawah kerana harga beras dan padi tidak dinaikkan seiring harga kos walaupun kos meningkat hampir setiap tahun.
"Ini tidak berlaku kepada sayuran, ikan dan makanan lain yang harganya naik apabila kos meningkat, tetapi kenaikan kos itu ditanggung oleh pemborong dan pengguna,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lalu tidak membawa apa-apa perubahan kepada golongan pesawah.
Malah, katanya, subsidi lama yang wajib diberikan kepada pesawah diulang-ulang dalam beberapa pembentangan bajet.
"Ia seolah-olah mahu menggambarkan semuanya cukup dan pesawah cuma mengada-adakan isu," katanya.
Mohd Fuad berkata, Bajet 2022 hanya membantu petani serta pengeluar makanan lain yang menghadapi kenaikan kos tetapi tidak membantu pesawah yang mengeluarkan makanan ruji rakyat negara ini.
“Kerajaan tiada pilihan selain memberikan tambahan subsidi, mengawal kos supaya harga turun serta membuat penguatkuasaan berkesan atau menaikkan harga padi.
"Namun sebelum itu, sistem yang sudah tidak betul harus diperbetulkan. Ini termasuk monopoli benih dan input pertanian mesti dihapuskan,” katanya.
Beliau sehubungan itu mencadangkan agar semua pihak dibenarkan mengeluarkan benih, manakala syarikat dipelbagaikan untuk membekal input pertanian selain membantu menubuhkan lebih banyak kilang beras baharu.
“Kerajaan juga harus berusaha memperbanyakkan kilang walaupun kilang berskala kecil di kawasan komuniti setempat yang menggunakan mesin kecil.
"Ia lebih adil daripada mengawal harga beras atau memberi subsidi tetapi tidak melihat kepada kenaikan kos yang berganda. Sekarang, kos sudah meningkat berkali-kali sejak pandemik Covid-19," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!