Pura-pura hantar makanan sebelum ragut rantai emas

Eng Lai menunjukkan barang rampasan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin.
Eng Lai menunjukkan barang rampasan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 30 kes ragut berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya empat ahli Geng Ashmer yang aktif meragut rantai emas di ibu negara dan beberapa kawasan lain sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, modus operandi geng tersebut adalah dengan membawa beg penghantar makanan untuk mengelakkan mangsa rasa curiga.

Menurutnya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 51 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan menerusi Ops Rentap di sekitar Sentul, Wangsa Maju, dan Gombak pada 23 hingga 28 Oktober lalu.

"Kegiatan ini didalangi oleh tiga lelaki tempatan yang menyasarkan kawasan orang ramai yang memakai rantai leher emas. Suspek menyasarkan mangsa yang memakai baju berkolar bulat dan rantai yang agak tebal untuk diragut.

"Salah seorang suspek akan bertindak untuk 'menjaga line' manakala seorang lagi bertindak sebagai 'striker' untuk meragut rantai mangsa," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin.

Rantai emas yang berjaya dirampas.
Rantai emas yang berjaya dirampas.

Eng Lai berkata, hasil ragut berkenaan akan dijual kepada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di Selayang Baru, manakala wang tersebut akan dibahagi sesama mereka.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis merampas beberapa utas barang kemas dianggarkan bernilai RM55,000.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas ialah dua buah motosikal jenis Yamaha LC135, selain Yamaha Y15 (dua), topi keledar (lima), telefon bimbit (enam), beg penghantaran makanan (dua) serta 36 utas rantai leher warna kekuningan disyaki emas dan sebuah alat penimbang," ujarnya.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata) untuk membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!