NS benar kanak-kanak 12 tahun solat jemaah di masjid, surau

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas untuk menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau di negeri ini bermula pada Isnin.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menerusi hebahan di laman sesawang berkata, individu bukan warganegara dan penduduk tetap (PR) juga dibenarkan untuk menunaikan solat di masjid dan surau.

Menurutnya, kesemua jemaah bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini termasuk penjarakan fizikal 1.5 meter antara jemaah serta memakai pelitup muka dan membuat pemeriksaan suhu badan.

"Syarat lain ditetapkan ialah ahli jawatankuasa masjid dan surau, petugas keselamatan dan sukarelawan serta jemaah yang hadir perlu melepasi tempoh 14 hari selepas lengkap menerima dos suntikan vaksin Covid-19.

"Jemaah yang dibenarkan hadir adalah lelaki dan wanita, berumur 12 tahun dan ke atas, warganegara, bukan warganegara, PR serta tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya," jelas kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan turut menjelaskan bahawa aktiviti pengajian ilmu dan aktiviti sosial di masjid dan surau dibenarkan dengan menggunakan SOP sama termasuk beberapa syarat tambahan.

"Aktiviti pengajian ilmu dibenarkan secara bersemuka. Penceramah hendaklah memiliki tauliah atau mendapat kebenaran Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

"Majlis kenduri kahwin, sambutan hari kebesaran Islam dan program komuniti dibenarkan dengan kebenaran jawatankuasa selain kehadiran adalah 50 peratus daripada kapasiti serta amalan penjarakan sosial.

Artikel Berkaitan:

"Mengadakan jamuan dan menjamu selera di tempat yang ditentukan dengan penjarakan juga dibenarkan. Bagaimanapun, makanan bungkus adalah digalakkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!