Selangor, STDC dan Siemens jalin kerjasama Industri 4.0
PUTRAJAYA - Kerajaan Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Siemens Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama mewujudkan ekosistem latihan menyeluruh membabitkan kemahiran Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu sebagai salah satu usaha bagi menyokong Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) merangkumi beberapa bidang.
Amirudin berkata, program pembangunan latihan yang dilaksanakan menerusi kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan utama kepada pendidikan industri antaranya merangkumi automasi digital, pengurusan pembuatan digital dan pengaturcaraan logik.
"Selain itu, kerjasama ini juga mensasarkan pembangunan program bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini di samping turut menjadi kajian sebenar kepada pelajar dan pelatih STDC," katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara kerajaan Selangor, STDC dan Siemens Malaysia di Hotel Le Meridien, di sini, pada Isnin.
Hadir sama sewaktu majlis berkenaan adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Siemens Malaysia, Adam Yee dan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pada peringkat awal, kerjasama tersebut akan tertumpu kepada penawaran program pensijilan profesional dan pengajian tahap tinggi kemahiran.
"Kerjasama ini turut melibatkan program 'Train The Trainers' bagi pembangunan tenaga pengajar di institusi kerajaan negeri yang diselia oleh tenaga pakar daripada Siemens," katanya.
Sementara itu, Adam berkata, MoU yang terjalin itu akan dapat membantu dalam menambah baik pembangunan dan kemahiran bagi bidang Industri 4.0 yang relevan pada masa kini.
"Saya percaya kerjasama kukuh antara tiga pihak ini akan membantu kita membentuk satu asas yang kukuh dan daya saing lebih hebat di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!