Bajet 2022: KPT hargai keprihatinan kerajaan

A
A
A

DR.NORAINI
DR.NORAINI

Peruntukan RM14.5 bilion bakal memacukan lagi pembangunan pendidikan tinggi negara

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara terutama dalam menyalurkan dana bagi mempergiat aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, dalam Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM14.5 bilion, meliputi Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM11.5 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM3 bilion.

Ujar beliau, peruntukan berkenaan dapat membantu KPT dan agensi di bawah KPT bagi melaksanakan program-program pembangunan pendidikan tinggi dan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Terdapat 15 inisiatif bajet yang telah dibentangkan dalam usaha membantu graduan dan KPT seperti PerantiSiswa Keluarga Malaysia, iaitu membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 600,000 mahasiswa daripada keluarga B40 melalui peruntukan sebanyak RM450 juta.

“Manakala Pemerkasaan bidang TVET dengan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion yang turut memanfaatkan pelbagai kementerian dan agensi. Di samping itu, tambahan RM200 juta turut diperuntukkan bagi program usaha sama dengan industri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelas Dr. Noraini lagi, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 bakal memberikan manfaat kepada 1.67 juta peminjam PTPTN seperti diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Katanya, pelanjutan pemotongan cukai dua kali juga diberikan kepada syarikat yang menawarkan biasiswa kepada pelajar institusi pendidikan tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian.

“Pengenalan Program e-Start, iaitu pemberian kredit RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet belia berumur 18-20 tahun termasuk pelajar sepenuh masa di IPT juga merupakan satu usaha terbaik kerajaan dalam membantu golongan mahasiswa.

“Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada lebih 2 juta belia bagi tujuan pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran,” jelasnya.

No Image Caption

Menurut Dr. Noraini, sejumlah RM6.6 bilion juga disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma selain melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan di bawah Mara, UiTM dan Yayasan Peneraju.

Malahan kata beliau, galakan juga diberikan kepada pihak swasta untuk melaksanakan inisiatif pembayaran elaun sebanyak 900 ringgit kepada pelajar yang menjalani program latihan industri.

“Pelanjutan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2.

“Di samping menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan,” katanya.

Kata Dr. Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, peruntukan berjumlah RM423 juta di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) selari dengan perkembangan sains dan teknologi.

Ujarnya, peruntukan termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.

“Perkhidmatan Klinik Bergerak kepada Hospital Pengajar Universiti turut diperluaskan sebagai usaha menambah akses saringan dan pendidikan kesihatan di kawasan-kawasan tumpuan.

“Selain itu, program Pemulihan Dalam Komuniti yang dipelopori Universiti Sains Malaysia (USM) akan diperluaskan pelaksanaannya ke universiti-universiti awam lain bermula tahun hadapan.

“Peningkatan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam sebanyak RM4 bilion untuk pelaksanaan program vaksinasi dan agenda menangani COVID-19 yang turut melibatkan hospital pengajar universiti,” jelas beliau.

Selain itu, penyediaan kemudahan taska di universiti awam sebagai sokongan bagi kaum ibu berkerjaya dalam membina institusi Keluarga Malaysia yang mampa.

“Terdapat juga peruntukan berjumlah RM2.9 bilion bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana merangkumi projek selenggara jalan, baik pulih infrastruktur dan peralatan usang universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

“KPT komited untuk membantu kerajaan dalam agenda pemulihan, pembinaan semula daya ketahanan negara menerusi agenda pendidikan tinggi.

“Peruntukan yang diluluskan bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada pemegang taruh KPT, malah akan turut dinikmati oleh komuniti dan masyarakat, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!